free web hosting | free hosting | Business Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting

DUA DEKAD

Sayang, alangkah indah sekiranya isi hati ini dapat difahami olehmu. Betapa diri ini menyayangimu dan tidak mahu kehilanganmu. Maafkanku kerana punya rasa sedemikian terhadap mu…

"Lin… kenapa pandang I macam tu?" Aku tersentak dengan teguranmu. Ku hanya mampu menggelengkan kepala dan tersenyum.

Oh tuhan, ku pohon dari-Mu ketabahan hati.

"It’s late. Come, I’ll send you back," Badanku terasa lemah mendengarkan kata-kata itu. Ku masih ingin meluangkan masa bersamamu. Mengapa kita harus berpisah?

Topi keledar dihulur ke arah ku. Aku melihat seketika lalu menyambutnya. Aku mengenakannya lalu memboceng ke atas motosikal itu. Enjin berderau. Dia akan menghantarku pulang.

Tadi kami meluangkan masa bersama. Masa kami gunakan untuk melepaskan rindu dan meluahkan rasa. Kami tahu keadaan masing-masing. Dia punya keluarga… dan yang lebih menyakitkan, ku akan diijab kabulkan hujung minggu ini. Kejadian sebentar tadi terbayang di mataku. Suaranya melafazkan kata-kata masih kedengaran. Hati ini seakan ingin memberontak. Dia berjenaka agar ku gembira. Ya, aku bersedih. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa sebak hati ini hanya memikirkan bahawa aku tetap akan kehilanganmu.

Dikanan ku dirimu, dikiri ku insan lain. Mungkin kita hanya ditakdirkan untuk bertemu dan tidak bersama. Ku rasa serba-salah. Ingin ku batalkan majlis yang akan berlangsung dalam masa empat hari… namun ku tidak sanggup melihat kekecewaan di raut wajah keluargaku. Ingin ku teruskan, sememangnya ku tahu… aku belum bersedia. Hatiku telah terbagi dua. Antara perasaan keluarga dan perasaan ku. Ku memeluknya erat. Tidak ingin ku lepaskan. Dia menoleh kebelakang lalu tersenyum. Dia meramas jemariku. Hatiku bertambah sebak.

Ku mengimbas kembali setiap waktu bersamamu. Ku sentiasa senang berada di sisimu. Ku tersenyum sendirian apabila terbayangkan dirimu mengukirkan senyum. Ku gembira. Jenakamu tidak pernah jemu ku dengar. Dan ku tahu kenakalanmu. Senda-guraumu tidak ku lupa. Namun apabila ku teringatkan akan realiti, majlis yang akan berlangsung tidak lama lagi, jiwa ini bagaikan dihiris. Aku seakan ingin lari… pergi jauh dari semua yang ku kenali agar tidak perlu ku jelaskan rasa hati ini. Majlis yang akan dilangsungkan akan merubah segenap hidupku. Apakah aku ingin meneruskannya? Apakah perasaan keluargaku nanti? Adakah mereka akan marah padaku dan hilang kepercayaan mereka terhadapku?

Tidak!!! Ya Allah, hati ini telah terpaut kepada insan yang tidak mungkin bisa ku miliki. Ku sedari namun masih ada segelintir harapan di dada ini. Entah mengapa ku sememangnya tertarik pada dirinya semenjak pertama kali bertemu dan berkenalan. Apa sahaja di alam maya ini boleh menjadi bahan perbualan kami. Begitulah keselesaan yang wujud diantara kami kini.

Setelah hampir setengah jam dalam perjalanan, kami berhenti dekat rumahku. Ku menuruni motosikalnya dan melepaskan topi keledar.

"Cantik you hari ni… Actually, hari-hari you cantik," pujian yang kerap ku terima darinya. Ku renung wajahnya yang terukir senyuman.

"Oklah… dah malam ni. Kita jumpa lagi, k. Jalan tu… hati-hati," pesanan darinya.

"Takpe. You jalan dulu, k." Aku lebih senang melihatnya berlalu daripada aku yang meninggalkannya. Dia tersenyum. Mungkin sudah faham benar dengan sikapku, "Ok lah…Good night…"

Kembali kedengaran derauan enjin. Dia berlalu perlahan sesekali menoleh dan melambai kepada ku. Ku menyaksikan sehingga kelibatnya tidak kelihatan.

@@@@@@@

Esok adalah hari pernikahan dan persandingan ku. Inai telah terlukis di tapak tangan dan jari-jemariku. Aku tidak dibenarkan keluar dari rumah kerana itu adalah pantang-larang orang dahulu.

Ku hanya duduk termenung dan masih bersoal-jawap dengan diriku sendiri. Aku sudah tidak berdaya untuk memikirkan hal ini. Aku buntu. Ku pilih untuk berserah segalanya kepada yang Maha Kuasa kerana ku percaya ia adalah yang terbaik untuk diriku. Ingin ku menangis, airmata seakan tidak ingin mengalir. Di dalam hatiku menjerit-jerit ingin difahami namun apakan daya. Tiada insan yang akan memahami jika ku cerita.

Ku melayani perasaan. Bayangan wajah insan kesayanganku sentiasa singgah membuatku rindu. Ku membayangkan dapat hidup disisinya bersama anak…Aaarrggghhhh!! Masakan aku berfikir sampai begitu sekali.

Ku melihat segala yang mengelilingi diriku. Sepupu dan pakcik ku sedang sibuk membantu mengangkatkan barang-barang ke dewan di mana persandingan akan diadakan. Makcik-makcik ku pula sedang menghias hadiah-hadiah yang akan diberikan kepada pihak lelaki semasa upacara pernikahan.

Ahli keluargaku semua kelihatan gembira. Mereka berbual dan tertawa. Jiwaku yang kesepian meronta-ronta agar kedengaran isi hati ini. Tiadakah sesiapa yang ingin tahu mengapa aku hanya berdiam diri? Tiadakah seorang insan pun yang sedari aku tidak kelihatan gembira? Tiadakah sesiapa ingin bertanya apa didalam hati ini? Hatiku menangis.

@@@@@@@

Di saat ini, ku sedang menanti. Alangkah baiknya jika dapat ku hentikan waktu dan berlari jauh dari segala di kelilingku. Kak Mar, mak andam ku, sedang berbual denganku sambil mendandankan diri ini yang terasa seakan tidak bermaya. Cantik. Apa gunanya kecantikan dandanannya sekiranya hari ini tidak akan menjadi hari yang paling bersejarah buatku? Haruskah aku melalui pernikahan ini? Sekiranya aku memberitahu ibuku tentang perasaanku, adakah dia akan memahami? Sudah tentu dia akan tanya mengapa… Apakah dia akan memahami juga jika ku katakan yang aku menyintai insan yang jarak jauh umurku dan dia dua puluh tahun? Bahawa insan yang amat ku sayangi itu sudah berkeluarga? Tuhan sahaja yang dapat mendengar tangisan batinku. Tiadakah ada insan yang dapat menyelamatkan ku?

Kak Mar masih sibuk mendandanku. Kebaya moden kuning dan putih dhulurkan padaku untuk majlis pernikahan nanti. Ku terima…

"Pengantin lelaki dah datang!!" Kedengaran suara sepupuku yang kelihatan amat ghairah. Ya Allah, Ya Tuhanku… Berikanlah ku petunjuk-Mu. Tabahkanlah hati ini. Wajah insan kesayanganku terbayang di depan mata.

"I tak mahu katakan yang I cintakan you sebab takut you berubah fikiran nanti," Terngiang di telingaku kata-katanya. "You dah kata pun…" Ku mengusiknya. Dia hanya tersenyum. Ku seakan ingin bertanya apakah dia akan menikahi diriku sekiranya aku batalkan pernikahan ini. Namun aku masih inginkan kata-kata dimulai olehnya. Ku berdiam diri selama ini.

Airmata tidak dapat mengalir lagi. Ku kesuntukan masa dalam membuat keputusan. Akhirnya, ku teruskan juga pernikahan ini. Majlis diraikan oleh semua dengan penuh kegembiraan.

"Siapa nak bergambar? Ni sementara tunggu pihak lelaki sampai," kini tibalah majlis persandinganku. Kau berada di depanku, sayang, bersama isteri dan anak-anakmu. Terbayang di benak ku kemesraan yang dapat ku lahirkan bersama keluargamu. Terasa ku ingin bersamamu juga. Kau memandang padaku lalu tersenyum. Namun senyumanmu itu tawar, sayang. Seakan ingin menangis tetapi ku teringat akan pesananmu, "Di majlismu nanti, you jangan menangis tau." Tangisanku dalam senyuman.

Pada pertemuan akhir ku denganmu sebelum majlis ini, kau telah menyatakan sayang padaku. Ku memelukmu erat, tidak mahu melepaskanmu. Ku tidak mahu berpisah darimu. Airmata yang mengalir dipipiku, kau sapukan lembut dengan jemarimu. Kau membelai rambutku mesra. Kau tidak ingin ku menangis.


Liana

Yang Ku Cipta...

Emelkan ciptaan anda ke kasmaran@singnet.com.sg




Copyright © Kasmaran. All rights reserved.
Liana 2003